SRI AMAN: Keselamatan komuniti merupakan elemen penting bagi mencerminkan identiti dan ciri-ciri kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang kaum di negara ini.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata masyarakat dimaklumkan media massa peningkatan kadar jenayah dan jika tidak dibendung merosakan keharmonian yang kita kecapi selama ini.
Katanya, Program Pendidikan Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sebagai landasan memberi kesedaran membantu dan menjaga keselamatan masyarakat.
“Program ini melibatkan agensi keselamatan dan NGO secara tidak langsung dapat merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan sesuatu program secara NBOS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pendidikan Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda Bahagian Sri Aman di Balai Raya, Kampung Sabu di sini malam kelmarin.
Katanya, program itu memberi impak positif kepada masyarakat mencegah penularan jenayah dan secara tidak langsung membantu agensi keselamatan mengurangkan indeks jenayah.
“Saya menyeru ahli-ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama berganding bahu menjaga keselamatan dan bukan semata-mata melepaskan tanggungjawab sahaja,” katanya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Dirwana Azool, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malik, Pemanca Micheal John Sanggop serta yang lain.
Pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM20,000 kepada 26 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini.
Sumber: Utusan Borneo Online
https://www.utusanborneo.com.my/2018/04/22/keselamatan-komuniti-cerminan-ciri-identiti-masyarakat-majmuk