Prihatin menjaga komuniti jajaran lebuh raya

Kuala Lumpur: Sumbangan besar PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terhadap pembangunan negara bukan hanya dengan menguruskan rangkaian lebuh raya secara sistematik dan selesa kepada pengguna, malah turut menjadi sahabat kepada komuniti dengan menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Sebagai Rakan Negara, PLUS secara berterusan menyumbang kepada komuniti menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antaranya membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19, sumbangan zakat dan membantu komuniti setempat dengan menaik taraf kemudahan diperlukan.

Menerusi sumbangan itu, ia memberi 1,001 makna yang tidak terungkap dengan kata-kata terutama buat penerimanya.

Dalam meringankan beban kerajaan memerangi Covid-19, PLUS turut menghulurkan sumbangannya kepada petugas barisan hadapan.

Ia diakui Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Heric Corray yang berterima kasih dengan sumbangan berkenaan.

Menurutnya, bantuan menerusi CSR dan Tabung Warga PLUS Prihatin menunjukkan komitmen dan kesungguhan syarikat konsesi itu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia memerangi wabak Covid-19.

“Menangani pandemik ini memerlukan banyak penggunaan peralatan perubatan dan sumbangan PLUS datang tepat pada masanya serta memberi manfaat kepada pasukan barisan hadapan di HKL.

“Kita sedia maklum, kekurangan peralatan perubatan bukan saja dilalui di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia seperti mana dilaporkan di media dan media sosial. Oleh itu, sumbangan ini datang tepat pada masanya dan sangat memberi manfaat kepada pasukan barisan hadapan di HKL,” katanya.

Mengulas mengenai peranan PLUS sebagai Rakan Negara, Dr Heric berkata, lebuh raya berperanan penting memastikan hubungan cekap antara kerajaan persekutuan dan negeri yang terjejas akibat wabak ini.

“Jika dilihat, sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebuh raya PLUS terus beroperasi dan berperanan penting sebagai tulang belakang utama menghubungkan Semenanjung, sekali gus memungkinkan kita menggunakan bantuan perubatan, anggota keselamatan, membiarkan perdagangan berterusan termasuk pengangkutan barang dan banyak lagi.

“Jalan raya juga dijaga dengan baik juga memberikan pergerakan rentas sempadan yang cekap, mengurangkan masa perjalanan dan keselamatan jalan raya yang lebih baik terutama untuk pelancong.

“Penting untuk bersikap konsisten dan tekun mengingatkan sesama rakyat Malaysia prosedur operasi standard (SOP) dan PLUS menerusi R&R sentiasa mengingatkan kepada pengunjung di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Sumbangan itu, turut mendapat penghargaan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak, Dr Abdul Malek Osman.

Menurutnya, sumbangan PLUS amat bermakna dan bertepatan dengan situasi krisis pandemik Covid-19 yang memerlukan petugas barisan hadapan memanfaatkan segala ruang dan peluang yang ada termasuklah peralatan untuk kegunaan pesakit.

“Fokus HRPB memastikan setiap pesakit dijangkiti Covid-19 diberikan rawatan terbaik. Namun, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama mendapatkan sumber perawatan terbaik seperti kepakaran, logistik, peralatan perubatan, ubat-ubatan dan pematuhan aspek kawalan jangkitan seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Terima kasih PLUS sebagai Rakan Negara memberikan sumbangan zakat dalam bentuk peralatan perubatan, sekali gus membolehkan HRPB memberikan perawatan yang terbaik buat pesakit Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, sumbangan wang tunai melalui peruntukan zakat sangat dihargai oleh penerima kerana ketika PKP dan Ramadan bantuan kewangan itu meringankan beban malah dapat digunakan untuk membayar bil serta perbelanjaan harian.

Ahli Jawatankuasa Masjid dan Pengerusi Taska Permata Kampung Hujung Bandar, Sik, Kedah, Sobri Ibrahim berkata, sumbangan dihulurkan PLUS menerusi program CSR dan zakat membantu meningkatkan kehidupan masyarakat setempat.

Menurutnya, sebelum ini mereka amat memerlukan dana dan bantuan menggantikan permaidani masjid namun masih belum ada yang tampil membantu.

“Bila PLUS berkunjung ke sini, mereka bukan saja menggantikan permaidani di dalam masjid, tetapi juga membaik pulih kerosakan yang ada.

“Selain itu, kanak-kanak di Tadika Permata juga kini dapat belajar dengan selesa dan selamat selepas PLUS mengubah suai dan menambahkan kemudahan termasuk pendingin hawa serta membaik pulih kerosakan.

“PLUS juga membaik pulih titi yang sudah usang, sekali gus penduduk boleh menggunakan dengan selasa dan selamat. Terima kasih PLUS kerana membantu kami di Kampung Hujung Bandar,” katanya.

Bendahari Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, Selangor, Ustaz Zainal Abidin Amat pula berkata, sumbangan menerusi Majlis Korban PLUS sesuatu yang harus dipuji kerana ramai masyarakat terutama golongan asnaf dapat merasai pemberian syarikat gergasi itu.

Menurutnya, PLUS sering dikaitkan dengan lebuh raya dan pembayaran tol, tetapi tidak ramai yang tahu, PLUS banyak memberi balik kepada komuniti.

“PLUS menyampaikan sumbangan dalam pelbagai cara dan program. Tidak hanya memberi dan menjalankan kewajipan, saya lihat sumbangan yang dihulurkan PLUS juga sangat cantik kerana bantuan yang disalurkan dapat dirasai semua golongan komuniti terutama asnaf.

“Dengan pemberian sumbangan dan program yang dilaksanakan, hubungan PLUS dan masyarakat lebih baik serta mesra. Selain mengutip wang tol, PLUS juga menyumbang kepada masyarakat.

“Langkah yang diambil PLUS ini positif dan apa yang disumbangkan itu dapat dirasai bersama terutama golongan asnaf yang berada di bandar,” katanya.

Bagi Penghulu Kampung Bukit Gantang, Taiping, Perak, Mustafa Kamal, bantuan PLUS menaik taraf infrastruktur jalan kampung menerusi program CSR yang dijalankan tahun lalu sangat menggembirakan penduduk.

Katanya, sebelum ini, pihaknya banyak menerima aduan mengenai kerosakan jalan kampung, tetapi tidak dapat dipenuhi kerana kekangan dana.

“Alhamdulillah, dengan bantuan PLUS, jalan kampung kini lebih baik dan penduduk dapat melakukan pelbagai aktiviti serta mudah bergerak.

“Mukim Bukit Gantang berdekatan Hentian Sebelah Bukit Gantang PLUS (arah utara dan selatan). Hampir 20 peratus penduduk bekerja dan berniaga di situ dan kampung dalam mukim Bukit Gantang memang terkenal dengan durian.

“Dengan adanya jalan raya yang baik sumbangan dari PLUS, ia memudahkan penduduk memasarkan hasil tanaman sekali gus meningkatkan ekonomi atau pendapatan penduduk sekitar,” katanya.

Rasa syukur turut dikongsi Penasihat Rumah Kebajikan Anak Yatim, Fakir Miskin Tahfiz Al Habbah, Mohamed Hanafiah Abdul Malek penerima bantuan zakat Ramadan bagi membiayai perbelanjaan Tahfiz Al Habbah yang menguruskan 90 anak yatim fakir miskin.

Menurutnya, PLUS jalankan tanggungjawab sebagai konsesi patuh syariah dengan mengeluarkan zakat dan menyumbangkannya kepada yang memerlukan.

“Kami di sini sentiasa mendoakan PLUS terus maju jaya dan harap ia boleh jadi contoh kepada syarikat gergasi yang lain.

“Tidak hanya memberikan sumbangan, kemudahan infrastruktur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) terutama surau turut memberikan keselesaan, sekali gus memudahkan pengguna yang dalam perjalanan menunaikan solat,” katanya.

Perasaan sama dikongsi, Pengerusi Pertubuhan Asrama Anak-Anak Saudara Kita, Yatim, Fakir & Miskin Perkim Terengganu, Kampung Merchang, Marang, Terengganu, Ismail Jambol yang terharu dan berterima kasih di atas bantuan sumbangan CSR dari PLUS menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro.

Menurutnya, sumbangan diberikan PLUS itu bukan saja membantu dari segi makan minum penghuni, tetapi membolehkan pihaknya memperbaiki prasarana yang diperlukan.

“PLUS sememangnya sangat prihatin kepada golongan yang memerlukan dan dengan perkongsian rezeki ini, ia nyata memberikan kegembiraan kepada penghuni di sini.

“Terima kasih kepada PLUS kerana berkongsi rezeki kepada kami di sini,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Zakat PLUS, Yaakob Nordin berkata, sumbangan diberikan PLUS membantu meringankan beban perbelanjaan seharian keluarganya.

Menurutnya, bantuan diberikan tidak hanya pada Ramadan, tetapi juga semasa PKP dan pemberian itu sememangnya dapat meringankan beban golongan asnaf terutama yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“PLUS mengagihkan zakat bukan saja di luar bandar, tetapi golongan asnaf yang tingga di bandar seperti kami di PPR Lembah Subang 2 ini.

“Alhamdulillah PLUS berpandangan jauh dan memberi kepada semua yang memerlukan. Mereka berkongsi rezeki yang ada sekali gus membuktikan bahawa PLUS adalah syarikat yang sangat prihatin kepada masyarakat. Terima kasih PLUS,” katanya.

Sumber: MyMetro

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/621033/prihatin-menjaga-komuniti-jajaran-lebuh-raya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *